Followers

Wednesday, March 14, 2012

GERAKAN mahu Guan Eng jawab isu kilang toksik di Batu Kawan



BN mahu Guan Eng jawab isu kilang toksik di Batu Kawan
SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
14 Mac 2012

GEORGETOWN - Ramai yang membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Pahang, namun mereka tidak mengetahui nasib yang bakal menimpa 100,000 penduduk di Batu Kawan apabila sebuah kilang yang mengeluarkan toksik dibina di negeri ini.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Rich Too berkata, mereka menuntut penjelasan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengenai pembinaan kilang berkenaan yang dikendalikan sebuah syarikat dari Jerman.

“Kita tidak menentang teknologi solar tetapi proses untuk menghasilkannya boleh mencemarkan alam sekitar. Ia juga akan mengancam kehidupan jika pembuangan sisa toksik tidak dikendalikan dengan betul.

"Sehingga kini tiada sebarang penjelasan diberikan Kerajaan Negeri kepada umum mengenai projek yang akan dijalankan itu," katanya kepada media semalam.

Menurutnya, orang ramai yang menyokong Guan Eng kerana membantah pembinaan loji Lynas sebenarnya tidak sedar bahawa sebuah kilang yang mengeluarkan toksik akan berada di Batu Kawan.

Sehubungan itu, mereka menuntut Guan Eng memaklumkan lokasi tepat serta mengemukakan laporan awal penilaian kesan alam sekitar (EIA) kilang berkenaan.

“Kita mahu penjelasan tentang kaedah yang digunakan untuk mengendalikan bahan berbahaya seperti toksik yang dikeluarkan oleh loji itu kelak.

"Guan Eng juga perlu maklumkan langkah pencegahan jika berlaku kecemasan atau kemalangan sekiranya loji itu dibina bersebelahan taman perumahan," katanya.

Difahamkan, loji pengeluaran panel solar berkenaan akan dibina di Batu Kawan dengan pelaburan RM2.2 bilion.

Syarikat dari luar negara itu dikatakan sudah memulakan proses pembelian tanah seluas 32 hektar di kawasan berkenaan.

Rich berkata, Guan Eng dilihat tidak mengambil kira pandangan umum khususnya penduduk di situ terlebih dahulu sebelum meluluskan pembinaannya.

“Pembinaan loji ini boleh disifatkan sebagai penganiayaan kepada bakal penduduk yang hanya menunggu rumah mereka siap untuk diduduki.

"Loji ini memerlukan kawasan luas untuk mengawal sembilan jenis gas beracun yang dihasilkannya," katanya. ~SH

No comments:

Popular Posts 30